Shaffiz On Friday, January 29, 2010

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita pemergian Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang dikatakan seorang Sultan berjiwa rakyat. Takziah dihulurkan kepada kaum keluarga Almarhum dan doa dipanjatkan semoga roh Baginda dicucuri rahmatNya. Seorang Sultan yang dulunya pernah menjadikan rakyatnya kagum dengan sifat-sifatnya telah kembali menghadap Raja seluruh alam. Segala kemewahan dan darjat yang pernah dimilikinya ditinggalkan di dunia. Hanya berbekalkan pahala dari amal-amalnya ketika menghadap Penciptanya.

Jika kita lihat, orang-orang kenamaan, ahli politik, menteri-menteri, malah kerabat diraja akan tunduk patuh kepada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Agung. Allah telah menjemput Tuanku untuk  menghadapNya. Tiada siapa akan terlepas dari pembalasan Allah SWT yang Maha Adil. Jika berat timbangan amalnya, maka jalannya hanyalah ke Syurga. Jika berat timbangan dosanya, neraka jahanamlah menanti mereka. Di alam itu tidak ada lagi gelaran Duli Yang Maha Mulia, Yang Amat Berhormat, Yang Mulia dan sebagainya. Disana hanyalah ada manusia dengan pelbagai rupa yang mencerminkan amal dan dosa yang telah mereka lakukan didunia ini. Gelaran didunia hanyalah didunia. Apabila ajal datang menjemput, terlucutlah segala gelaran yang pernah mengagungkan mereka, juga yang pernah menjadikan mereka hina di pandangan manusia lain.

Maka ingatlah, setinggi manapun gelaran, darjah kebesaran mahupun pujian yang kita miliki di dunia ini hanya kan kekal di dunia. Tidak ada satu gelaran pun yang akan membantu kita ketika manghadap Allah di padang Mashyar nanti. Hanya berbekalkan pahala amal ibadah yang pernah kita lakukan yang menjadi penanda aras samada kita ini layak untuk mencium wangian dari Syurga ataupun menanggung azab yang maha seksa didalam neraka jahanam. Ingatlah, segala darjah kebesaran tidak penting sama sekali. Allah SWT tidak pernah memandang hambanya berdasarkan darjah kebesaran yang dimilikinya. Hanya iman dan amal yang akan menjamin nasib kita nanti.

Baginda Tuanku telahpun menyahut seruan Illahi. Seluruh keluarga dan rakyat jelata mengharapkan agar rohnya dicucuri rahmat. Kemana nasib baginda; Syurga atau Neraka; itu semua urusan Allah. Baginda telah pergi. Bukan hak kita untuk menghukum. Hanya Allah yang Maha Adil. Semoga kita semua akan dipertemukan kembali dalam satu pertemuan agung dengan wajah yang bercahaya, tanpa ada rasa gundah gulana mahupun terseksa. Semoga kita dipertemukan didalam Syurga yang abadi. Semoga kita dirahmati Allah SWT. Insyaallah..~~

Leave a Reply