Islam is WRONG!!!

Sunday, December 12, 2010
Posted by Shaffiz





Assalamulaikum. 
Rasanya ramai yang sudah tahu tentang ilustrasi ini.  
Sangat comel. 
Tapi membawa mesej yang sangat berat. 
Renung-renungkanlah kedudukan dan keadaan Islam masa kini. 
Setuju atau tidak? 
Terpulang kepada individu. 
Bagi saya, tiada apa yang saya boleh nafikan tentang ilustrasi  ini.
Wallahualam~



Assalamualaikum. Kali ini saya ingin melontarkan pendapat tentang penggunaan blog yang semakin popular sekarang. Blog: Signifikan Berbeza Antara Penggunanya menjadi tajuk entri kali ini. Idea ini diadaptasi dari pemerhatian saya terhadap blog-blog yang saya lawati juga bagi saya sendiri.

Blog merupakan satu medium dunia maya yang mana ianya boleh dimanipulasi mengikut kesesuaian tujuan pengguna itu sendiri mahupun mengikut intipati yang akan diterjemahkan secara bergambar atau bertulis didalamnya. Biasanya blog menjadi medium bertukar pendapat, melontarkan idea, malah meluahkan perasaan atau boleh juga menjadi diari kepada seseorang. Blog boleh dimanipulasi kearah negatif mahupun positif, bergantung kepada pemiliknya.

Kebanyakan blog yang popular mempunyai isi-isi yang menarik. Antara isi yang menarik adalah gosip, hal ehwal semasa, khabar angin dan sebagainya. Memang menjadi lumrah kepada rakyat Malaysia untuk mencari maklumat-maklumat terbaru (malah yang belum disahkan benar) melalui blog. Ini menjadikan khabar angin tersebar luas dan lebih teruk lagi maklumat sebenar diseleweng oleh segelintir penulis blog untuk menjadikan satu-satu cerita atau khabar angin itu menjadi lebih menarik (bagi mereka) dan ini menjadikan blog mereka menjadi lebih popular.

Penggunaan blog semakin meluas apabila blog itu sendiri menjadi satu platform perniagaan kepada sesiapa yang ingin menawarkan perkhidmatan juga barangan secara online. Atas dasar ini, ilmu perniagaan berasaskan internet berkembang pesat dengan usaha pakar-pakar jualan internet yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini. Ini secara tidak lansung menjadikan blog sebagai satu platform yang baik dan kompetitif dalam bidang perniagaan, juga dapat membantu para usahawan kecil yang ingin memasarkan produk mereka secara lebih meluas.

Blog sebagai diari juga menjadi konsep yang sangat popular dikalangan remaja. Mereka menjadikan blog sebagai satu tempat meluahkan perasaan, menyatakan ketidakpuashatian mahupun kegembiraan kepada satu-satu perkara, juga menceritakan apa sahaja yang terbuku dihati mereka. Tidak ada salahnya konsep ini. Namun, harus diingatkan bahawa terdapat batas-batas dalam menceritakan hal peribadi kepada khalayak ramai. Juga penyiaran gambar-gambar yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang ramai (konteks biasa; aurat yang terdedah sana sini). Segala maklumat peribadi tidak sepatutnya dicoretkan didalam blog kerana dikhuatiri menjadi bahan manipulasi oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab (juga dosa yang ditanggung jika menyiarkan gambar-gambar yang tidak sepatutnya).

Secara peribadi, saya menulis blog atas beberapa sebab. Antaranya, saya ingin mengasah bakat atau skil penulisan saya. Gaya bahasa, corak olahan dan sebgainya cuba saya pelbagaikan supaya dapat saya perbaiki cara persembahan idea-idea saya. Saya menulis blog juga kerana ingin melontarkan idea-idea saya, memberi pendapat, berdakwah (walaupun sedikit) dan berkongsi ilmu yang saya miliki. Mengekalkan skil penggunaan Bahasa Melayu juga menjadi salah satu faktor saya menulis didalam blog. Juga saya mengharapkan kritikan, teguran, mahupun penambahan idea daripada pembaca lain supaya idea-idea saya dapat dikembangkan lagi.

Secara ringkasnya, tidak kira apa sahaja tujuan mahupun konsep yang anda gunakan untuk blog anda, pastikan anda tidak melanggar batas-batasnya (terutama yang berkaitan dengan agama). Blog boleh menjadi tempat kita berhibur, tapi blog juga boleh memudaratkan diri kita sendiri jika kita tidak memandang serius akan bahayanya. 

Akhir kata, selamat meng"update" blog!






Wanita : Amanah Allah Keatas Lelaki~~

Wednesday, November 24, 2010
Posted by Shaffiz


Assalamualaikum. Sekian lama saya tinggalkan blog ini, kini saya punyai kekuatan baru untuk kembali menulis. Tajuk yang saya ingin bincangkan ini sebenarnya tajuk terakhir sebelum saya tinggalkan blog ini buat sementara, atas sebab-sebab tertentu.

Wanita, ciptaan Allah yang indah diatas muka bumi ini, penghias dunia, pelengkap fitrah manusia, juga merupakan satu amanah yang sangat besar keatas ciptaan Allah yang satu lagi; lelaki. Wanita pelengkap bagi lelaki (fitrah manusia yang memerlukan pasangan). Hawa diciptakan untuk menemani Adam yang keseorangan. Diciptakan dari tulang rusuk lelaki yang mana dekat dengan bahu untuk dilindungi, dekat  dihati untuk disayangi. Wanita bukan diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan juga dari kepala untuk dijunjungi.

Maha Suci Allah telah menciptakan wanita sebaik-baik penciptaan. Namun, penciptaan ini tidak akan sempurna tanpa adanya lelaki yang melengkapinya (juga sebaliknya). Allah menciptakan wanita dengan penuh rasa kasih sayang, lemah lembut, dan sifat malu yang sangat tinggi. Ini adalah fitrah seorang wanita. Akalnya senipis belahan rambut, hatinya bak kaca yang rapuh, punyai 9 nafsu dan hanya 1 akalnya. Sememangnya wanita adalah perhiasan dunia yang sangat fragile

Siapa penjaganya selain Allah di muka bumi ini? Siapa yang melengkapkan kesempurnaan penciptaan Allah ini? Inilah amanah Allah keatas lelaki. Allah mengamanahkan penghias dunia ini di bahu-bahu lelaki. Tugas lelaki untuk membimbing, menjaga juga menyayangi wanita. Tugas lelaki untuk membentuk akhlak wanita, sebagaimana dalam hadis Rasulullah:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah bahagian yang teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru berpesan-pesanlah tetang wanita (dengan kebaikan).” Hadis Sahih Riwayat Bukhari Dan Muslim.
Seperti sungguh berat amanah ini untuk dipikul oleh para lelaki, bukan? Tapi Allah Maha Pencipta juga Maha Mengetahui. Allah ciptakan wanita dengan penuh rasa kasih sayang didalam hatinya. Untuk siapakah kasih sayang itu selain Allah? Ya, kasih sayang itu untuk pelengkap dirinya iaitu lelaki. Maha Suci Allah yang menciptakan segala-galanya untuk saling lengkap-melengkapi. Wanita kan mencurahkan segala kasih sayangnya untuk lelaki yang ditakdirkan baginya. Dan sebagai balasan, wanita mengharapkan perlindungan dari lelaki, bimbingan dari lelaki. Wanita memerlukan lelaki dalam hidup mereka. Dan hanya lelaki yang layak juga yang halal bagi diri wanita itu sahaja akan mengecapi nikmat kasih sayang dari mereka.

Namun kini, lelaki lupakan tanggungjawabnya keatas wanita. Amanah yang diletakkan diatas bahu-bahu mereka menjadi bahan mainan bagi segelintir lelaki zaman sekarang. Wanita yang sepatutnya menjadi hiasan dunia kini lebih mejadi pemuas nafsu lelaki. Sedang wanita bergelut dengan menahan  9 nafsu dengan menggunakan 1 akal, lelaki pula menggunakan 9 akal mereka untuk memuaskan 1 nafsu. Wanita dihina tanpa disedari. Wanita dimanipulasi tanpa mereka ketahui. Amanah Allah keatas lelaki ini dinodai tanpa secalit rasa bersalah. Kemana perginya darjat wanita-wanita? Kemana perginya gelaran penghias dunia jika diri wanita itu sendiri rela dinodai lelaki yang haram baginya waima bersentuhan kulit sekalipun? Nauzubillah..

Wanita, anda merupakan penyeri dunia. Darjat anda sangat tinggi disisi Allah. Anda penuh dengan rasa kasih sayang, penuh dengan rasa malu, penuh dengan sifat-sifat yang lembut. Jangan jadikan diri anda sebagai hamba lelaki-lelaki yang hina, yang tidak kenal erti tanggungjawab, yang tidak kenal erti halal dan haram, malah yang tidak kenal siapa Penciptanya. Tebalkan akalmu dengan ilmu, kukuhkan hatimu dengan iman yang teguh. Mudah-mudahan anda tergolong dalam wanita-wanita solehah. InsyaAllah...

p.s : maaf jika entry ini tidak memuaskan. masih mencari rentak penulisan yang lebih baik. :)


 








Assalamualaikum. Pada entri kali ini saya ingin membincangkan tentang perkara yang berkait rapat dengan anak-anak muda zaman sekarang. Entri ini juga saya tulis atas rasa tidak senang saya atas pelbagai perkara yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan remaja. Mentaliti Remaja : Kemana Kecenderungannya menjadi tajuk pada kali ini. Kita akan membincangkan serba sedikit kecenderungan pemikiran anak-anak muda, faktor penyebab dan juga implikasi yang dicetuskan akibat dari pemikiran mereka.

Remaja, bila kita berbicara tentang remaja, pelbagai perkara; positif dan negatif, akan bermain di minda kita. Saya tidak mahu berbicara tentang perkara positif (sebab positif tidak perlu ditegur), saya hanya akan berbicara dari sudut negatif pemikirang remaja sekarang. Kita lihat pelbagai masalah sosial yang ditimbulkan remaja sekarang. Saya bagi contoh, baru-baru ini kita digemparkan dengan kes ragut bersenjata sehingga sang peragut sanggup mengejar mangsa sehingga sebalik pagar rumah. Hanya bertopengkan topi keledar dan bersenjatakan parang, remaja itu merampas barang-barang berharga daripada mangsa tanpa belas kasihan. Kemudian kes pembuangan bayi-bayi yang tidak berdosa oleh sang pengzina yang masih hilang arah tujuan setelah satu demi satu dosa besar yang telah menghantui diri mereka. Kemudian kita lihat pula kes penghinaan keatas orang yang sudah meninggal dunia; baru-baru ini arwah Din Beramboi dihina oleh budak hingusan berumur 14 tahun didalam Facebook. Baru-baru ini juga seorang pelajar cemerlang SPM telah bertindak menyamar sebagai anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, dan banyak lagi kes-kes yang dilakukan oleh remaja sekarang. Apa yang mereka fikirkan? Apa tujuan dan motif mereka melakukan semua itu? Mari kita bincangkan.

Zaman remaja penuh dengan ranjau di zaman ini. Pelbagai hasutan dan dugaan perlu ditempuh oleh para remaja. Remaja kini dihidangkan dengan hidangan kebebasan sosial yang melampau, hiburan, ideologi sampah (skinhead,emo,punk,gothic dan lain-lain ideologi sampah), hasutan kemewahan, "hidangan" mata yang menjurus kepada naiknya nafsu syahwat yang melampau, cara hidup barat yang dengan mudahnya disalurkan oleh media cetak dan elektronik yang kini penapisan kandungannya semakin hari semakin tipis, dan pelbagai lagi nikmat dunia yang menjadikan pemikiran anak-anak muda menjadi rosak bernanah. Remaja kini kurang penajaman pemikiran. Mereka hanya tahu menyerap apa yang ada disekeliling mereka. Jika mereka terdedah dengan unsur seks, zina dan pembuangan bayilah jawapannya. Jika mereka terdedah dengan hasutan kemewahan, ragut, rompak dan mencurilah jawapannya. Jika terdedah dengan rokok pada usia mudanya, silap langkah dadahlah hidangan sampai akhir hayatnya. Itu belum dikira masalah rempit yang sangat sinonim dengan dadah, seks bebas dan ragut. 3 unsur berpadu dalam satu masalah. Apa lagi kalau mereka terdedah kepada semua unsur-unsur negatif yang ada? Apa akan jadi kepada nasib anak-anak muda ini? Kemanakah arahnya mereka nanti?
+/- Teruskan membaca

Remaja sekarang sangat kurang unsur penajaman pemikiran. Mereka tidak dapat membezakan baik atau buruk. Mereka tidak dapat bezakan antara kaca dan permata. Merekat idak dapat menganalisis akan faktor malah kesan jangka pendek mahupun panjang yang akan berlaku jika satu-satu keputusan dibuat. Mereka hanya nampak luaran. Mereka hanya nampak keindahan dunia, tapi mata mereka dikaburi daripada melihat keindahan syurga dan azabnya neraka jahannam. Jika menggunakan perkataan yang lebih mudah, mereka bagaikan kanak-kanak yang belum mumaiyiz, mereka belum mencapai tahap kematangan yang sepatutnya. Tahap kematangan mereka tidak setanding dengan umur mereka sendiri.

Apa yang dimaksudkan unsur penajaman pemikiran? Tidak lain dan tidak bukan adalah ilmu agama. Latihan penerapan agama yang sepatutnya dilakukan seawal umur anak-anak berusia 7 tahun sehinggalah mereka menjadi seorang yang matang dalam berfikir. Aspek persekitaran juga memainkan peranan yang sangat penting. Masyarakat sekeliling akan menjadi kelompok pertama yang akan dikenali oleh anak kecil ketika dia meningkat dewasa. Jika masyarakat disekelilingnya penuh dengan unsur negatif, maka tumpullah pemikiran mereka. Jika masyarakat disekelilingnya penuh dengan unsur positif, maka tajamlah pemikirannya. Tapi masalah ini dapat diselesaikan jika anak-anak tadi diisi dengan ilmu agama yang cukup untuk melawan segala unsur negatif itu. Jika dirumah, ibu dan ayah sebagai pendorong juga benteng pertahanan yang kuat buat anak-anak. Tapi bila sahaja keluarnya anak itu dari rumahnya, pergi untuk menuntut ilmu dan sebagainya, hanya iman di dada menjadi benteng pertahananya. Jika ampuh imannya, makan dapatlah melawan segala cabaran. Jika rapuh imannya, maka jatuh tersembamlah kebumi dek kerana penangan unsur-unsur negatif tadi yang disertakan hasutan syaitan laknatullah.

Implikasinya tidak perlu kita bicara lagi. Cukuplah dengan contoh-contoh yang telah diberi. Itu hanya segelintir. Jika kita lihat dengan teliti, masalah sosial dan kendiri anak-anak muda bagaikan tiada penghujungnya. Selama mana kita masih membiarkan unsur-unsur kehidupan barat yang secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam, maka selama itulah anak-anak muda kita terdedah dengan seribu satu masalah. Penekanan dalam ajaran agama dan kehidupan seharian yang mengikut acuan Islam perlu dititikberatkan setiap masa. Segala-galanya bermula dari rumah. Takkan kita mahu membiarkan anak-anak gadis kita hilang dara yang menjadi mahkotanya di tangan lelaki-lelaki jalang? Ataupun mahukah kita melihat anak-anak lelaki kita menjadi pemusnah kehormatan anak-anak gadis? Bukan sahaja memusnahkan mahkota mereka, malah memberi mereka benih dan menjadikan rahim anak-anak gadis yang mereka nodai tadi sebagai kilang anak-anak haram???!! Kemudian anak-anak yang tidak berdosa itu dilahirkan kemudian dibuang bagaikan sampah atau najis??(sila lihat entri berkenaan anak haram yang lahir di Malaysia) Mahukah anak-anak kita menjadi penagih dadah atau pun peragut, bukan sahaja meragut barang berharga, malah meragut nyawa mangsa-mangsa mereka? Fikir-fikirkanlah.

Kekuatan iman adalah unsur paling penting yang perlu ada didalam jiwa setiap orang terutam anak-anak muda. Terapkanlah dalam jiwa mereka ilmu agama yang cukup sebelum mereka melangkah keluar dari rumah. Bantulah mereka mengukuhkan kekuatan iman. Doakan mereka setiap waktu. Insyaallah. Hanya ini yang saya dapat coretkan pada kali ini. Insyaallah saya akan sambung perbincangan tajuk ini dimasa yang lain. Banyak yang perlu dibincangkan untuk membongkar segala permasalahan yang berlaku disekeliling kita. Anak-anak muda merupakan togak kepada kekuatan agama. Rosak mereka maka gelaplah masa depan Islam. Semoga entri ini dapat memberi input kepada semua. Salah dan silap sila tegur. Teguran anda saya nantikan. Wallahualam~~

p.s: Saya sudah tidak sanggup lagi melihat bayi-bayi yang tida berdosa dibuang bagaikan sampah. Hati saya cukup pedih untuk menerima hakikat ini...

Book Review : Turki - Negara Dua Wajah~~

Friday, April 9, 2010
Posted by Shaffiz
Assalamualaikum. Seperti yang saya janjikan sebelum ini, saya akan membuat ulasan tentang sebuah buku yang penuh dengan fakta sejarah, iaitu Turki - Negara Dua Wajah.



Tajuk buku: Turki - Negara Dua Wajah
Penulis: Dr. Abdullah Azzam
Pengantar dan Analisis: Dr. Muhd Nur Manuty, Prof. Dr. M. Redzuan Othman
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Harga: RM18 (semenanjung), RM21 (Sabah & Sarawak)

Ulasan.

Buku ini sarat dengan fakta sejarah. Sejarah bagaimana tumbangnya Khilafah Uthmaniah terakhir. Segala-galanya berpunca dari seorang rakyat Turki yang mengelarkan dirinya "Bapa Turki Moden" atau lebih dikenali dengan nama Kemal Atarturk. Kemal Atarturk sememangnya dilahirkan dengan sifat menindas yang sangat tebal, dan itu adalah salah satu sebab mengapa dia dibenci sejak dibangku sekolah.Sifat iri hati dan bercita-cita tinggi juga menjadikan Kemal Atarturk seorang yang sangat agresif dan licik. Dia dilahirkan di kota Salonika pada tanggal 1880 masihi. Dia mendapat pendidikan tentera yang cukup tinggi sehingga dia menjawat jawatan tinggi tentera dalam usia yang muda.

Pelbagai penyelewengan yang dibongkarkan didalam buku ini. Penyelewengan yang terbesar Atarturk adalah apabila dia bersekongkol dengan pihak Inggeris untuk menggulingkan Khilafah Uthmaniah. Turki adalah tanah idaman bagi orang-orang Eropah, dan dengan itu mereka tidak pernah putus asa dalam usaha mereka untuk masuk dan menjajah tanah Turki. Atarturk juga dikatakan bersekongkol dengan Yahudi, namun ia tidak setinggi sebagaimana dia bersekongkol dengan pihak Inggeris. Namun, impaknya tetap sama. Pihak Inggeris menggunakan kepakaran mereka dalam menipu rakyat jelata Turki. Inggeris berlakon seakan-akan lemah ketika bersemuka dengan divisyen tentera yang diketuai oleh Atarturk dengan niat supaya rakyat Turki mengagung-agungkan Atarturk Dengan itu juga maka mudahlah pihak Inggeris dapat menawan Turki dari dalam kerana mereka mempunyai satu boneka hidup yang mana boneka itu disanjung tinggi oleh rakyat Turki sendiri.

Buku ini menceritakan secara teperinci perangcangan yang dilakukan Atarturk dalam usahanya menggulingkan sistem Khilafah di Turki. Dari orang kebanyakan, kemudian menjadi pegawai tinggi tentera, dan seterusnya menjadi Presiden pertama Republic Turki, seribu satu penipuan dan penindasan telah dilakukan oleh Atarturk. Penipuan yang didalangi oleh pihak Inggeris sangat hebat sehingga Atarturk diberi gelaran Ghazi (mujahid). Ketika itu rakyat Turki telah lemas dalam agenda yang dicanangkan oleh Atarturk dan pihak Inggeris, sehingga melupakan akan kewujudan Sultan. Semua ini menjadi punca utama Khilafah Uthmaniah rebah ke bumi.

Setelah berjaya menggulingkan Khilafah, Atarturk secara terang-terangan, malah secara paksa menerapkan unsur-unsur sekular kedalam jiwa setiap rakyat Turki. Atarturk yang sangat mengagumi peradaban Barat menggunakan sepenuh kuasanya dalam usaha menerapkan budaya Barat. Antara pengkhianatan Atarturk kepada dunia Islam di Turki adalah pengharaman pemakaian hijab untuk wanita dan Tarbus untuk lelaki ditukarkan kepada topi Barat. Atarturk menentang sekeras-kerasnya pemakaian hijab. Kemudian, laungan azan tidak dibenarkan dilaungkan dalam bahasa Arab, dan ditukarkan kedalam bahasa Turki. Selepas itu bahasa Arab tidak dibenarkan untuk digunakan dalam urusan rasmi. Malah tulisan jawi ditukarkan kepada tulisan rumi. Semua kumpulan agama dibubarkan, madrasah diruntuhkan, segala lambang agama tidak dibenarkan dipakaidengan apa cara sekalipun. Atarturk juga menukarkan segala undang-undang Islam kepada undang-undang Barat yang dicedok dari undang-undang Swiss dan Jerman. Sistem kehakiman ditukarkan daripada Mahkamah Syariah kepada Mahkamah Sivil yang mengguna pakai undang-undang Swiss.
+/- Teruskan bacaan

Begitulah dahsyatnya pengkhianatan yang dilakukan Kemal Atarturk ke atas dunia Islam. Mengapa dia lakukan semua itu? Ini semua adalah kerana pegangannya adalah sekular. Dia berusaha sedaya upaya memisahkan rakyat Turki dari agama mereka. Dia berusaha sedaya upaya agar rakyat Turki melupakan agama mereka. Dia berusaha agar umat Islam di Turki jauh dari Al-Quran dan menyekat segala bentuk pembelajaran agama. Dia sanggup bersubahat dengan musuh Islam semata-mata untuk mendapatkan apa yang dihajatinya. Dia diagungkan di Eropah, digelar Bapa Turki Moden, penyelamat Turki dan sebagainya. Namun pada hakikatnya Kemal Atarturk hanyalah manusia hina yang menjatuhkan maruah umat Islam.

Walaupun pelbagai kecaman yang dilakukan Atarturk, masih ada yang berfikiran waras dan berjuang untuk mengembalikan ajaran Islam ke landasan yang sepatutnya. Maka lahirlah kumpulan-kumpulan dakwah yang berusaha dalam proses re-islamisasi. Antaranya adalah gerakan Nurcu yang diasaskan oleh mujahid agung Turki, Said Badiuzzaman Said Nursi. Gerakan ini menekankan aspek pendidikan dan asuhan agama. Kemudian lahir Parti Demokrat yang diasaskan oleh Adnan Menderas dan Celal Bayar. Parti Demokrat memberi impak yang sangat besar apabila pelbagai perkara telah berjaya diubah seperti pendidikan Islam telah diperkenalkan disekolah-sekolah, laungan azan dalam bahasa Arab, dan macam-macam lagi. Namun, pengasas parti ini terpaksa membayar usaha mereka dengan harga yang tinggi apabila Adnan Menderes dan beberapa pemimpin kanan parti tersebut ditangkap dan dihukum gantung sampau mati. Selepas itu muncullah wira baru iaitu Necmettin Erbakan yang mengasaskan Milli Nizam Partisi (MNP). Tujuan utama penubuhan MNP adalah melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan rakyat Turki. Kini, wujudnya Parti Keadilan dan Pembangunan yang diterajui oleh Abdullah Gul dan Tayyip Edorgan. Mereka sehingga kini berjuang untuk menegakkan kembali syiar Islam di muka bumi Turki yang hancur dek kerana penangan sekularism yang dibawa oleh Kemal Atarturk.

Antara perkara yang menyentuh perasaan saya ketika membaca buku ini adalah ketika diceritakan bagaimana Khairunnisa, isteri kepada Presiden Turki Abdullah Gul, menjadi muslimah pertama melangkah masuk kedalam Istana Presiden yang memakai hijab. Setelah berpuluh tahun lamanya, itulah kali pertama 'Wanita Pertama' Turki memakai hijab melangkah masuk kedalam Istana Presiden. Bertapa ini menunjukkan bahawa semangat menegakkan syiar Islam masih ampuh didalam hati mereka. Kemudian peristiwa kematian Atarturk. Diceritakan bagaimana seksanya azab yang ditanggung Atarturk ketika sakaratulmautnya. Itulah balasan terhadap mereka yang meruntuhkan agama Allah.

Terlalu banyak perkara yang diceritakan didalam buku ini. Hanya ini yang mampu saya berikan sebagai ulasan. Setiap bait kata dalam buku ini mempunyai makna dan fakta. Jadi, walaupun buku ini tidaklah setebal mana, hanya lebih kurang 180 mukasurat, namun saya percaya bukan mudah untuk menghabiskan bacaan dalam tempoh yang singkat. Jalan cerita sejarah telah cantik disusun oleh penulis. Malah kata-kata pengantar juga wajib dibaca kerana mempunyai fakta yang penting. Buku ini bagi saya patut dibaca oleh semua umat Islam, kerana umat Islam perlu tahu bagaimana Empayar Islam runtuh dan kini kita perlu bangkit agar keagungan Islam kembali menyerikan bumi Allah ini. Ini sahaja yang mampu saya ulas. Jika ada salah dan silap, sila tegur. 

Semoga Allah merahmati kita semua....Amin~~