Shaffiz On Thursday, January 7, 2010


Cinta...satu perkataan yang dianggap agung dalam hati manusia. Cinta membawa erti yang berbeza kepada setiap individu. Cinta juga mempunyai ekspresi tersendiri. Cinta ada pelbagai jenis; untuk manusia antara manusia; daripada manusia kepada Allah; daripada Allah untuk makhlukNya. Cinta Allah kepada makhlukNya tidak akan berubah. Itu janji Allah. Cuma masalah manusia, pembahagian cinta antara manusia sendiri dan kepada Allah; mana satu yang lebih agung?

Ramai antara kita sedang asyik dibuai cinta antara manusia; sebuah luahan perasaan yang dianggap indah bagi mereka yang sedang menaiki bahtera percintaan. Luahan kata yang dikatakan dari hati menjadi penawar rindu untuk setiap pasangan kekasih. Luahan kata itu tercetus dari hati, tapi kita tidak sedar sebenarnya didorong dari hawa nafsu. Bila nafsu menguasai hati, ayat-ayat cinta diluahkan sepenuh perasaan, bahkan bukan sahaja dengan kata-kata, malah juga dengan "sentuhan cinta" yang sememangnya haram.

Cinta antara manusia menjadikan kita menjadi lupa kepada Pencinta Agung. Cinta kepada manusia menjadikan hati kita lupa pada cinta hakiki. Cinta antara manusia menjadikan kita tidak keruan. Mengapa? Kerana setiap luahan cinta itu menjadi nanah didalam hati. Setiap luahan cinta itu menjadi titik-titik hitam didalam hati. Luka dan nanah itu hanya boleh diubati dengan doa,ibadah, taubat...hanya Allah yang menentukan segala-galanya.

Cinta kepada Allah adalah cinta yang Agung. Cinta yang hakiki. Cinta yang abadi. Aku mencari cintaMu ya Allah. Berikanlah aku petunjuk ya Allah. Ubatilah hatiku yang telah busuk, bernanah, penuh titik-titik hitam yang menjadikan aku lupa padaMu ya Allah. Ampunilah dosaku. Aku sedar cinta kepada manusia hanyalah sementara, hanya cinta kepadaMu yang kekal selama-lamanya. Segala dugaan yang Engkau taburkan keatasku membuatkan aku sedar bahawa cinta manusia hanyalah penuh dengan nafsu, penuh dengan tipu daya syaitan. Buangkanlah memori silam hitamku itu ya Allah agar dapat aku hidup dengan tenang....Amin..amin..yaRabbal alamin...

Leave a Reply