Shaffiz On Friday, April 9, 2010

Assalamualaikum. Seperti yang saya janjikan sebelum ini, saya akan membuat ulasan tentang sebuah buku yang penuh dengan fakta sejarah, iaitu Turki - Negara Dua Wajah.



Tajuk buku: Turki - Negara Dua Wajah
Penulis: Dr. Abdullah Azzam
Pengantar dan Analisis: Dr. Muhd Nur Manuty, Prof. Dr. M. Redzuan Othman
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Harga: RM18 (semenanjung), RM21 (Sabah & Sarawak)

Ulasan.

Buku ini sarat dengan fakta sejarah. Sejarah bagaimana tumbangnya Khilafah Uthmaniah terakhir. Segala-galanya berpunca dari seorang rakyat Turki yang mengelarkan dirinya "Bapa Turki Moden" atau lebih dikenali dengan nama Kemal Atarturk. Kemal Atarturk sememangnya dilahirkan dengan sifat menindas yang sangat tebal, dan itu adalah salah satu sebab mengapa dia dibenci sejak dibangku sekolah.Sifat iri hati dan bercita-cita tinggi juga menjadikan Kemal Atarturk seorang yang sangat agresif dan licik. Dia dilahirkan di kota Salonika pada tanggal 1880 masihi. Dia mendapat pendidikan tentera yang cukup tinggi sehingga dia menjawat jawatan tinggi tentera dalam usia yang muda.

Pelbagai penyelewengan yang dibongkarkan didalam buku ini. Penyelewengan yang terbesar Atarturk adalah apabila dia bersekongkol dengan pihak Inggeris untuk menggulingkan Khilafah Uthmaniah. Turki adalah tanah idaman bagi orang-orang Eropah, dan dengan itu mereka tidak pernah putus asa dalam usaha mereka untuk masuk dan menjajah tanah Turki. Atarturk juga dikatakan bersekongkol dengan Yahudi, namun ia tidak setinggi sebagaimana dia bersekongkol dengan pihak Inggeris. Namun, impaknya tetap sama. Pihak Inggeris menggunakan kepakaran mereka dalam menipu rakyat jelata Turki. Inggeris berlakon seakan-akan lemah ketika bersemuka dengan divisyen tentera yang diketuai oleh Atarturk dengan niat supaya rakyat Turki mengagung-agungkan Atarturk Dengan itu juga maka mudahlah pihak Inggeris dapat menawan Turki dari dalam kerana mereka mempunyai satu boneka hidup yang mana boneka itu disanjung tinggi oleh rakyat Turki sendiri.

Buku ini menceritakan secara teperinci perangcangan yang dilakukan Atarturk dalam usahanya menggulingkan sistem Khilafah di Turki. Dari orang kebanyakan, kemudian menjadi pegawai tinggi tentera, dan seterusnya menjadi Presiden pertama Republic Turki, seribu satu penipuan dan penindasan telah dilakukan oleh Atarturk. Penipuan yang didalangi oleh pihak Inggeris sangat hebat sehingga Atarturk diberi gelaran Ghazi (mujahid). Ketika itu rakyat Turki telah lemas dalam agenda yang dicanangkan oleh Atarturk dan pihak Inggeris, sehingga melupakan akan kewujudan Sultan. Semua ini menjadi punca utama Khilafah Uthmaniah rebah ke bumi.

Setelah berjaya menggulingkan Khilafah, Atarturk secara terang-terangan, malah secara paksa menerapkan unsur-unsur sekular kedalam jiwa setiap rakyat Turki. Atarturk yang sangat mengagumi peradaban Barat menggunakan sepenuh kuasanya dalam usaha menerapkan budaya Barat. Antara pengkhianatan Atarturk kepada dunia Islam di Turki adalah pengharaman pemakaian hijab untuk wanita dan Tarbus untuk lelaki ditukarkan kepada topi Barat. Atarturk menentang sekeras-kerasnya pemakaian hijab. Kemudian, laungan azan tidak dibenarkan dilaungkan dalam bahasa Arab, dan ditukarkan kedalam bahasa Turki. Selepas itu bahasa Arab tidak dibenarkan untuk digunakan dalam urusan rasmi. Malah tulisan jawi ditukarkan kepada tulisan rumi. Semua kumpulan agama dibubarkan, madrasah diruntuhkan, segala lambang agama tidak dibenarkan dipakaidengan apa cara sekalipun. Atarturk juga menukarkan segala undang-undang Islam kepada undang-undang Barat yang dicedok dari undang-undang Swiss dan Jerman. Sistem kehakiman ditukarkan daripada Mahkamah Syariah kepada Mahkamah Sivil yang mengguna pakai undang-undang Swiss.
+/- Teruskan bacaan

Begitulah dahsyatnya pengkhianatan yang dilakukan Kemal Atarturk ke atas dunia Islam. Mengapa dia lakukan semua itu? Ini semua adalah kerana pegangannya adalah sekular. Dia berusaha sedaya upaya memisahkan rakyat Turki dari agama mereka. Dia berusaha sedaya upaya agar rakyat Turki melupakan agama mereka. Dia berusaha agar umat Islam di Turki jauh dari Al-Quran dan menyekat segala bentuk pembelajaran agama. Dia sanggup bersubahat dengan musuh Islam semata-mata untuk mendapatkan apa yang dihajatinya. Dia diagungkan di Eropah, digelar Bapa Turki Moden, penyelamat Turki dan sebagainya. Namun pada hakikatnya Kemal Atarturk hanyalah manusia hina yang menjatuhkan maruah umat Islam.

Walaupun pelbagai kecaman yang dilakukan Atarturk, masih ada yang berfikiran waras dan berjuang untuk mengembalikan ajaran Islam ke landasan yang sepatutnya. Maka lahirlah kumpulan-kumpulan dakwah yang berusaha dalam proses re-islamisasi. Antaranya adalah gerakan Nurcu yang diasaskan oleh mujahid agung Turki, Said Badiuzzaman Said Nursi. Gerakan ini menekankan aspek pendidikan dan asuhan agama. Kemudian lahir Parti Demokrat yang diasaskan oleh Adnan Menderas dan Celal Bayar. Parti Demokrat memberi impak yang sangat besar apabila pelbagai perkara telah berjaya diubah seperti pendidikan Islam telah diperkenalkan disekolah-sekolah, laungan azan dalam bahasa Arab, dan macam-macam lagi. Namun, pengasas parti ini terpaksa membayar usaha mereka dengan harga yang tinggi apabila Adnan Menderes dan beberapa pemimpin kanan parti tersebut ditangkap dan dihukum gantung sampau mati. Selepas itu muncullah wira baru iaitu Necmettin Erbakan yang mengasaskan Milli Nizam Partisi (MNP). Tujuan utama penubuhan MNP adalah melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan rakyat Turki. Kini, wujudnya Parti Keadilan dan Pembangunan yang diterajui oleh Abdullah Gul dan Tayyip Edorgan. Mereka sehingga kini berjuang untuk menegakkan kembali syiar Islam di muka bumi Turki yang hancur dek kerana penangan sekularism yang dibawa oleh Kemal Atarturk.

Antara perkara yang menyentuh perasaan saya ketika membaca buku ini adalah ketika diceritakan bagaimana Khairunnisa, isteri kepada Presiden Turki Abdullah Gul, menjadi muslimah pertama melangkah masuk kedalam Istana Presiden yang memakai hijab. Setelah berpuluh tahun lamanya, itulah kali pertama 'Wanita Pertama' Turki memakai hijab melangkah masuk kedalam Istana Presiden. Bertapa ini menunjukkan bahawa semangat menegakkan syiar Islam masih ampuh didalam hati mereka. Kemudian peristiwa kematian Atarturk. Diceritakan bagaimana seksanya azab yang ditanggung Atarturk ketika sakaratulmautnya. Itulah balasan terhadap mereka yang meruntuhkan agama Allah.

Terlalu banyak perkara yang diceritakan didalam buku ini. Hanya ini yang mampu saya berikan sebagai ulasan. Setiap bait kata dalam buku ini mempunyai makna dan fakta. Jadi, walaupun buku ini tidaklah setebal mana, hanya lebih kurang 180 mukasurat, namun saya percaya bukan mudah untuk menghabiskan bacaan dalam tempoh yang singkat. Jalan cerita sejarah telah cantik disusun oleh penulis. Malah kata-kata pengantar juga wajib dibaca kerana mempunyai fakta yang penting. Buku ini bagi saya patut dibaca oleh semua umat Islam, kerana umat Islam perlu tahu bagaimana Empayar Islam runtuh dan kini kita perlu bangkit agar keagungan Islam kembali menyerikan bumi Allah ini. Ini sahaja yang mampu saya ulas. Jika ada salah dan silap, sila tegur. 

Semoga Allah merahmati kita semua....Amin~~




3 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    Salam,
    Buku ni memang bagus dibaca. Banyak fakta yang dikemukakan amat baik untuk dikongsi bersama. Kejatuhan Khalifah Uthmaniah selepas Perang Dunia Pertama adalah didorong oleh kelemahan pihak khalifah sendiri dek kerana hanyut dengan kemewahan dunia dan lupa pada nasib rakyat bawahan di seluruh wilayah Uthmaniah.
    Kehadiran Mustapha Attaturk mempercepatkan lagi proses keruntuhan sistem khalifah Uthmaniah. Dia pernah dianggap 'wira' Turki pada masa itu kerana menegetuai barisan kemenangan dalam Pertempuran di Gallipoli menentang perikatan British dan Perancis.

  2. Shaffiz says:

    Salam. Betul tu.
    Silapnya Khalifah Uthmaniah ketika itu membawa masuk unsur-unsur Barat. Ketika hanyut dalam kemewahan, Khalifah ketika itu telah jauh ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi. Bukan sahaja kemasukan ilmu dari Barat, malah budaya juga diserap masuk menjadikan segelintir penduduk Turki mengagungkan Barat, dan salah seorangnya adalah Kemal Atarturk.

    Terlalu banyak untuk dikongsi. Jadi saya sangat-sangat sarankan kepada sesiapa yang belum membacanya, carilah buku ini dan baca dari awal sehingga habis. Kita akan tahu mengapa Islam kini lemah dibawah tapak kaki Barat.

  3. assalamulaikum warahmatuhlah.. bole sya thu tahun bilakah buku ini dicetak?

Leave a Reply