Shaffiz On Sunday, April 4, 2010

Assalamualaikum. Entri kali ini saya ingin membincangkan tentang perkara yang sangat sinonim dengan kehidupan kita sebagai Muslim. Perbincangan kali ini adalah hasil nukilan saya yang diadaptasi dari pengalaman dan pemerhatian saya terhadap kehidupan seorang Muslim, antara halal dan haram.

Apa yang saya maksudkan manisnya haram, pahitnya halal? Sebenarnya ini adalah rumusan saya untuk realiti kehidupan kita sekarang. Kecenderungan terhadap perkara-perkara yang haram kini melebihi kecenderungan kita terhadap yang halal. Mengapa saya berkata demekian? Mari kita lihat satu persatu contoh yang biasanya berlaku didepan mata kita dan kini kita sudah anggap perkara-perkara itu adalah perkara yang biasa.

Kita ambil contoh, ramai yang masih berzina walaupun Allah S.W.T telah menghalalkan nikah. Apa yang penzina rasa ketika sedang hanyut digelumang dosa? Mereka seronok dan puas sedangkan keseronokan dan kepuasan itu hanyalah bersifat sementara. Mungkin kepuasan itu bertahan untuk beberapa minggu, atau beberapa hari, atau beberapa jam, atau mungkin lebih teruk beberapa minit dan kemudian kemungkaran zina itu akan diulang-ulang bagaikan kepuasan nafsu mereka tiada sempadan. Begitulah bertapa "manisnya" haram. Tapi mengapa mereka tidak mengambil jalan yang halal iaitu nikah? Alasan yang tidak munasabah akan diberikan. Antaranya, "ala, duit tak cukup lagi", "mak ayah tak restu", "lecehla nak kahwin, nak kena pergi kursus lagi", malah ada yang lebih teruk jika alasan seperti "ala, muda lagi, nak enjoy dulu" diberikan. Betapa susahnya hendak menelan "kepahitan" halal.
+/- Teruskan membaca
Kita beralih kepada contoh yang lain; rasuah. Kenapa ramai diantara masyarakat kita yang "berkepentingan" seringkali terjebak dengan gejala rasuah? Kemewahan, kesempitan hidup dan macam-macam lagi alasan yang akan kita dengar daripada mulut orang yang menerima rasuah. Bagi yang memberi rasuah, alasan yang biasa kita akan dengar adalah "ala, bukannya rasuah, hadiah je" atau "biasalah, kalau tak bagi mana nak dapat projek". Sangat manis ketika menerima rasuah.Macam-macam perkara yang berlegar di benak akan menjadi kenyataan. Allah S.W.T mengharamkan rasuah dan menghalalkan malah mewajibkan amanah. Mungkin sukar bagi mereka yang "berkepentingan" untuk lari daripada rasuah, malah mungkin mereka sendiri tidak mengetahui bahawa mereka telah dirasuah disebabkan permainan psikologi yang rancak dilakukan olah pemberi rasuah. Sehinggakan rasuah kini telah menjadi barah dan nanah didalam negara kita. Begitulah sukarnya untuk menerima hakikat kepahitan halal.

Contoh yang lain seperti aurat. Mendedahkan aurat adalah haram, menutup aurat pula halal dan diwajibkan. Namun, kita sendiri dapat lihat "ikon-ikon" anak muda kita yang sering beraksi diatas pentas mahupun di layar perak dan di kaca televisyen, berapa peratuskah yang menutup aurat dengan sempurna. 4 April 2010 adalah tarikh berlansungnya Anugerah Bintang Popular dan seperti yang dijangka, Dato' Siti Nurhaliza memenangi anugerah yang "berprestij" itu. Seorang public figure yang menjadi ikutan anak-anak muda Malaysia ketika ini, adakah dia menutup aurat secara sempurna? Jika anda membaca entri saya sebelum ini berkenaan penggunaan tudung, saya ada sentuh tentang perkara ini. Mendedahkan aurat sangat mudah dan "manis". Tapi menutup dan menjaga aurat sangat sukar dan "pahit", sehingga memerlukan hadirnya "seru" atau hidayah dari Allah. Adakah mereka tidak mengetahui bahawa hidayah itu perlu dicari, bukan hanya menunggu??

Mengapa semua ini berlaku? Hati manusia penuh dengan nafsu. Kemudian nafsu dibimbing oleh syaitan laknatullah disebabkan oleh rapuhnya iman yang mendindingi hati ini dari ancaman kejahatan dan kemungkaran. Kekuatan iman adalah kunci utama kepada perlindungan hati kita dari kemungkaran, juga merupakan medium pertukaran rasa daripada "manis"nya haram "pahit"nya halal kepada sebaliknya; "manis"nya halal dan "pahit"nya haram. Kekuatan iman sangat-sangat diperlukan dizaman ini. Pelbagai dugaan yang tak tercapai akal perlu kita hadapi. Kita tidak boleh mengelak, cuma kita boleh bersedia dengan dinding pertahanan yang ampuh.

Semoga Allah S.W.T merahmati kita dan melindungi kita dari ancaman seperti ini. Amin~~

Leave a Reply