Shaffiz On Thursday, November 25, 2010




Assalamualaikum. Kali ini saya ingin melontarkan pendapat tentang penggunaan blog yang semakin popular sekarang. Blog: Signifikan Berbeza Antara Penggunanya menjadi tajuk entri kali ini. Idea ini diadaptasi dari pemerhatian saya terhadap blog-blog yang saya lawati juga bagi saya sendiri.

Blog merupakan satu medium dunia maya yang mana ianya boleh dimanipulasi mengikut kesesuaian tujuan pengguna itu sendiri mahupun mengikut intipati yang akan diterjemahkan secara bergambar atau bertulis didalamnya. Biasanya blog menjadi medium bertukar pendapat, melontarkan idea, malah meluahkan perasaan atau boleh juga menjadi diari kepada seseorang. Blog boleh dimanipulasi kearah negatif mahupun positif, bergantung kepada pemiliknya.

Kebanyakan blog yang popular mempunyai isi-isi yang menarik. Antara isi yang menarik adalah gosip, hal ehwal semasa, khabar angin dan sebagainya. Memang menjadi lumrah kepada rakyat Malaysia untuk mencari maklumat-maklumat terbaru (malah yang belum disahkan benar) melalui blog. Ini menjadikan khabar angin tersebar luas dan lebih teruk lagi maklumat sebenar diseleweng oleh segelintir penulis blog untuk menjadikan satu-satu cerita atau khabar angin itu menjadi lebih menarik (bagi mereka) dan ini menjadikan blog mereka menjadi lebih popular.

Penggunaan blog semakin meluas apabila blog itu sendiri menjadi satu platform perniagaan kepada sesiapa yang ingin menawarkan perkhidmatan juga barangan secara online. Atas dasar ini, ilmu perniagaan berasaskan internet berkembang pesat dengan usaha pakar-pakar jualan internet yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini. Ini secara tidak lansung menjadikan blog sebagai satu platform yang baik dan kompetitif dalam bidang perniagaan, juga dapat membantu para usahawan kecil yang ingin memasarkan produk mereka secara lebih meluas.

Blog sebagai diari juga menjadi konsep yang sangat popular dikalangan remaja. Mereka menjadikan blog sebagai satu tempat meluahkan perasaan, menyatakan ketidakpuashatian mahupun kegembiraan kepada satu-satu perkara, juga menceritakan apa sahaja yang terbuku dihati mereka. Tidak ada salahnya konsep ini. Namun, harus diingatkan bahawa terdapat batas-batas dalam menceritakan hal peribadi kepada khalayak ramai. Juga penyiaran gambar-gambar yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang ramai (konteks biasa; aurat yang terdedah sana sini). Segala maklumat peribadi tidak sepatutnya dicoretkan didalam blog kerana dikhuatiri menjadi bahan manipulasi oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab (juga dosa yang ditanggung jika menyiarkan gambar-gambar yang tidak sepatutnya).

Secara peribadi, saya menulis blog atas beberapa sebab. Antaranya, saya ingin mengasah bakat atau skil penulisan saya. Gaya bahasa, corak olahan dan sebgainya cuba saya pelbagaikan supaya dapat saya perbaiki cara persembahan idea-idea saya. Saya menulis blog juga kerana ingin melontarkan idea-idea saya, memberi pendapat, berdakwah (walaupun sedikit) dan berkongsi ilmu yang saya miliki. Mengekalkan skil penggunaan Bahasa Melayu juga menjadi salah satu faktor saya menulis didalam blog. Juga saya mengharapkan kritikan, teguran, mahupun penambahan idea daripada pembaca lain supaya idea-idea saya dapat dikembangkan lagi.

Secara ringkasnya, tidak kira apa sahaja tujuan mahupun konsep yang anda gunakan untuk blog anda, pastikan anda tidak melanggar batas-batasnya (terutama yang berkaitan dengan agama). Blog boleh menjadi tempat kita berhibur, tapi blog juga boleh memudaratkan diri kita sendiri jika kita tidak memandang serius akan bahayanya. 

Akhir kata, selamat meng"update" blog!






2 Responses so far.

  1. salam en.shaffiz...
    "Mengekalkan skil penggunaan Bahasa Melayu juga menjadi salah satu faktor saya menulis didalam blog."

    Rasanya, "didalam" pada ayat di atas haruslah dijarakkan. =))
    Gaya penulisan anda yg skema ini semakin mantap dan haruslah dikekalkan serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
    Ouh tidak lupa juga, kata penghubung yang digunakan juga sesuai dan bagus!!. lama xpakai dah..hehe

  2. Shaffiz says:

    oh...ada yang sedar akan kesilapan itu rupanya...=))
    terima kasih atas komen yang membina...juga terima kasih atas kesudian membaca coretan hamba yang tida seberapa ini...=)

Leave a Reply